Nahas terburuk di Malaysia 20 maut

Polis sahkan pemandu bas ekspres ada 15 saman trafik, dua waran tangkap

TAIPING: Dua puluh orang termasuk tiga pasangan suami isteri maut manakala sembilan lagi cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas dan terhumban ke dalam parit di Kilometer 229.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang di sini, semalam.

Nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara itu sekali gus menimbulkan semula persoalan berhubung isu pemandu yang mempunyai kesalahan trafik berulang, tetapi masih ‘bebas’ memandu kenderaan awam.

bukity-gantang.jpg

Siasatan awal polis mendapati pemandu bas berkenaan, Rohizan Abu Bakar, 38, yang turut terbunuh dalam nahas kira-kira jam 4.40 pagi itu, mempunyai 15 kesalahan trafik termasuk dua waran tangkap.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak, berkata bas milik Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Sdn Bhd yang didaftarkan pada 1987 itu pula mempunyai 19 saman sejak 1991.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengapa tindakan masih tidak diambil terhadap pemandu dan syarikat terbabit.

Ini bukan kali pertama pemandu bas yang mempunyai rekod kesalahan trafik, terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa ramai penumpang.

Dalam nahas membabitkan bas ekspres Mutiara dan sebuah bas sekolah di Jalan Kuala Lipis-Merapoh, Pahang yang mengorbankan 15 penumpang pada 30 November 2003 lalu, pemandu bas ekspres itu juga dikatakan memiliki lima kesalahan lalu lintas termasuk memandu melebihi had laju. Ujian air kencing pemandu bas sekolah itu pula, disahkan mengandungi dadah.

Mengulas nahas semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata kementerian akan menubuhkan pasukan penyiasat yang dianggotai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

“Kita akan menyiasat sama ada kemalangan itu disebabkan struktur jalan atau keadaan bas

serta kemungkinan pemandu terbabit mengantuk, keletihan atau memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Dalam kemalangan ngeri itu, 19 orang termasuk dua rakyat Indonesia mati di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Taiping (HT). Lapan penumpang pula cedera parah termasuk pembantu pemandu bas berkenaan dan dua rakyat Vietnam manakala seorang rakyat Nepal dirawat sebagai pesakit luar.

Beberapa saksi memberitahu bas Super Express itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Alor Star bersama 29 penumpang itu, melilau ke kiri dan kanan beberapa kali sebelum terbabas apabila tayarnya termasuk dalam longkang kecil di tepi lebuh raya berkenaan.

Bas itu dikatakan melanggar penghadang jalan dan terhumban ke dalam parit sebelum merempuh bongkah batu di Kilometer 229.1 lebuh raya berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan bumbung bas terbabit tercabut dan semua penumpang tercampak ke hadapan selepas terjunam dan terbalik ke dalam parit sedalam lima meter.

Semua mangsa dikatakan bertindih termasuk seorang wanita ditemui dalam keadaan terkulai dengan anaknya berusia tiga tahun masih dalam pangkuannya. Suami wanita itu dikatakan turut terbunuh.

Anak pasangan itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HT dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Seramai 41 anggota dari tiga Balai Bomba berhampiran termasuk Kuala Kangsar dan Sungai Siput dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan orang ramai sekitar jam 4.45 pagi.

INFO
Mangsa terkorban

T Krishnan, 46, (Kuala Ketil, Kedah)

Padliz Ahmad, 22, (Jasin, Melaka)

Josli Arshad, 39, (Jambatan Duyong, Melaka)

Rohizan Abu Bakar, 36, (pemandu bas – Kulim, Kedah)

Nazri Noordin, 35, (Ayer Itam, Pulau Pinang)

Pang Tee Min, 58, (Melaka)

Mohd Yazid Md Yusoh, 22, (Jasin, Melaka)

Zuliyani Buang, 25, (Tanjung Keling, Melaka)

Md Basri, (Merlimau, Melaka)

Shahril Afendi, 22, (Alor Star, Kedah)

Sundaram Priyasamy, 31, (Tanah Merah, Jitra, Kedah)

Siti Sophia Ismail, 23, (Alor Star, Kedah)

Norsharumiza Khairy, 27, (Kulim, Kedah)

Teoh Kee Song, 34, (Padang Temusu, Kedah)

Cheng Chun Joo, 37, (isteri Teoh)

Kamis Said, 62, (Masjid Tanah, Melaka)

Zaitun Bachik, 58, (isteri Kamis)

Abu Bakar S Ali, 27, (Medan, Indonesia)

Sri Asiah, 32, (isteri Abu Bakar)

sumber : berita harian

2 Responses to Nahas terburuk di Malaysia 20 maut

  1. LIN says:

    sebagai salah seorang sahabat mangsa saya merasa kesal dia ats apa yg berlaku walaupun itu dikatakan qada & qadar.sebagai umat islam saya berserah.kegembiraan untk menerima sekeping ijazah stlh usahanya bertahun-tahun akhirnya menjerat arwah didalam nahas.bagaimana pula pinjaman pelajaran yg bakal ditanggung ibubapanya yg tidak bekemampuan?harapan ibubapa menumpang senang diatas bahu seorang anak akhirnya meninggalkan batu nesan bernama utk dikenang ke akhir hayat.tragedi akan terus berlaku & terus berlaku sehingga akhir tiba kepada kita wlaupun kita tidak lagi menggunakan kenderaan awam.ahli keluarga kita bakal menjejaki menara gading..adakah kita mempunyai banyak masa untuk menghantar mereka pulang?…fikirkan sejenak wahai seluruh rakyat malaysia…saya juga pernah mengalami pelbagai kejadian antaranya yg saya akan ingati sehingga mati..
    2 minggu lagi saya akan mnghabiskan masa pantang dan memulakan perjalanan pulang ke kampung.dengan keadaan bas yg laju.kondisi cermin yg sedikit retak boleh mengundang kecelakaan.nasihat untuk memperlahankan bas tidak dihirau.berhenti di kl ambil penumpang 1 jam.tayar bas bocor dekat seremban dekat 1 jam.bayangkan mesti dah lambat.dah tentu lagi laju!pmandu bas tinggalkan saya bersama 6 pnumpang lain di tol ayer keroh & menyuruh kami menahan bas lain untuk ditumpangi.patut ke?dibawah embun malam terpaksa bagi anak saya menyusu.pmandu tinggalkan kami untuk menghantar pnmpang ke johor alasan mereka tidak perlu hantar smpai melaka sentral bukan kerja mereka.tidak ada teksi lalu.jadi fikirkan apa yang akan berlaku kepada bayi yang baru berusia sebulan lebih & keadaan ibu dalam pantang? fikirkan pula keuntungan yang dikaut oleh syarikat kenderaan.bas yg dijanji lain tp bas lain yg dibri..fikirkan……….nywa manusia hari ini boleh dibeli dikedai insuran……..dengan harga yg murah………….fikirkannnnn

  2. gidong says:

    Lin saya simpati dgn keadaan yg menimpa kamu tu .. harap2 ianya tidak akan berlaku lagi .. dan sama2 lah kita mendoakan agar benda2 mcm ni tidak akan berlaku lagi … thanks share cerita kamu …

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: