Misi “IMPIAN MUSTAHIL” Rexy

Mahu anak didiknya kuasai empat tempat separuh akhir Kejohanan Dunia

HARAPAN diluahkannya ibarat ‘misi mustahil’, namun Rexy Mainaky menyimpan keinginan untuk beregu lelaki negara mendominasi semua empat tempat pada separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Putra, bermula 13 Ogos nanti.

Di atas kertas, kemungkinan itu terjelma selepas keempat-empat beregu negara – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Choong Tan Fook-Lee Wah Wah, Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock – diundi tidak bertemu sehingga separuh akhir.

“Berdasarkan undian, kemungkinan itu memang ada. Lantas, saya berkeinginan untuk melihat semua mereka layak ke separuh akhir. Itu pastinya sesuatu yang amat hebat,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pertama pemain negara di gelanggang kejohanan, petang semalam.

Malah, lontaran cabaran itu diluahkan Rexy yang percaya barisan pemain bimbingannya mampu menggapai cabaran itu jika memanfaat segala persiapan dan menjelmakan tahap aksi terbaik masing-masing.

“Laluan untuk Kien Keat-Boon Heong agak selesa. Ujian paling getir untuk Tan Fook-Wah Wah pula ialah menentang pilihan utama, Fu Haifeng-Cai Yun pada suku akhir. Saya tetap yakin mereka mampu melepasi halangan itu,” katanya.

Fairuzizuan dan Zakry pula diuji beregu kedua China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo pada pusingan kedua sebelum pilihan keempat dari Denmark, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen menanti di suku akhir.

Laluan Bin Shen-Soon Hock bagaimanapun paling berliku berbanding tiga gandingan lain apabila bertemu gandingan utama Jepun, Tadashi Ohtsuka-Keita Matsuda pada pusingan awal sebelum Markis Kido-Hendra Setiawan menanti di pusingan ketiga.

Andai melepasinya, mereka terpaksa pula bertemu gandingan veteran berbisa, Tony Gunawan dari Amerika Syarikat dan pemain Indonesia, Chandra Wijaya pada suku akhir.

“Ini adalah kesempatan terbaik untuk mereka membuktikan bahawa sudah mencapai tahap sama dengan kelompok beregu utama dunia lainnya,” kata Rexy.

Namun apa yang lebih penting sebenarnya ialah Rexy mahu anak buahnya melakar pencapaian terbaik dengan menjelmakan gelaran yang tidak pernah didakap Malaysia sejak edisi pertama kejohanan pada 1977 lalu.

Pencapaian terbaik pemain beregu negara dalam kejohanan di Madrid, tahun lalu ialah menerusi Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui yang bagaimanapun hampa kecundang pada peringkat suku akhir.

sumber : berita harian online 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: